Friday, October 17, 2008

Dua...

Alamak, matilah aku dah lambat! Camne aku lupa setting jam ni?? Dengan sekilas pantas aku cuma mencuci muka dan menggosok gigi serta mencapai apa sahaja yang aku ingat untuk kelas Elektromagnet yang aku fikir sudah pun lambat lima minit. Lima minit - aku rasa sudah pasti aku tidak dapat masuk ke dalam kelas, kerana Encik Faiz selalu akan mengunci pintu dari dalam jika lambat masuk ke dalam kelas.

Dengan pantas aku menaiki motorsikal peninggalan arwah ayahku menuju ke blok P16 yang terletak nun jauh di atas bukit itu. Semua orang nampak aku macam kalut sahaja pada pagi ini, tapi harus setiap kali aku melalui perhentian bas yang penuh dengan siswi kampus aku akan memperlahankan kelajuanku.

Alhamdulillah, lima minit saja. Aku meletakkan motor ku di tempat yang telah disediakan oleh pihak fakulti. Tapi pelik, aku lihat rakan-rakan sekelasku semuanya masih lagi jalan berlenggang-lenggang seperti itik yang pulang petang sedangkan pagi masih lagi kekal nyamannya. Dari jauh aku melihat Ipin perlahan-lahan mendekati aku dengan skuter merah jambunya yang dia sendiri memberi nama timangan - Pinky.

"Hai nyah... sorang je ke?" sapa Ipin.

"Yelah, takkan berdua kot..."

"Dah makan?" Ipin cuba untuk bermesra sambil memasukkan topi keledarnya yang berwarna merah jambu juga ke dalam bekas simpanan skuternya itu.

"Iskh, takde masa la aku nak layan kau ni. Kan kita dah lambat nak masuk kelas En Faiz ni," tegas aku

"Eh, hello... kita ni awal lagi tau. 10 minit lagi. Cuba tengok jam kau tu betul-betul. Ni ha jam aku ni, haruslah tepat sebab mahal kan..." sambil tangannya diangkat menunjukkan aku yang mungkin jam baru saja dia dapat dari hasil pemberian seseorang yang selalu sahaja disebut-sebutnya dengan nama Abang K.

Nampak gaya jam aku ini memang terlalu awal. Aku menghela nafas lega.

Aku mulai perasan yang kami menjadi tumpuan ramai. Apa tidaknya, si Ipin sudahlah terlalu 'menyerlah' akan perwatakannya. Aku mulai rimas kerana ada pelajar siswa yang tersenyum lebar melihat kami seperti seakan mesra. Tak kurang juga pelajar-pelajar siswi yang seakan-akan bergosip mendekat mulut kepada telinga sambil menunjuk-nunjuk ke arah kami. Harap aje pakai tudung labuh, tapi...

"Nyah, fesyen baru ke? Pakai baju kasi nampak tag kat kolar belakang tu? Wah kelas gitu..." sambil ketawa dengan menutup mulutnya yang kononnya nampak lebih sopan seperti seorang perempuan.

Alamak! Aku pakai baju terbalik ke? Ya Allah, macam mana boleh jadi macam ni? Aku cuba menutup keaiban aku dengan beg galas aku. Dah la semua orang sedang memandang ke arah kami. Baru sahaja si Ipin mengangkat tangannya seperti ingin membuat satu pengumuman, tiba-tiba - "Hah, nyah! Pagi-pagi kau dah kacau boyfriend aku ya?"

Suara itu cukup aku kenal dan membuatkan aku rasa lega. Sarah sudah datang untuk menyelamatkan aku daripada bencana alam yang boleh membuatkan aku malu untuk satu semester di fakulti aku. Dia mencekak pinggang. Terus si Ipin bergegas masuk ke dalam dewan kuliah, mungkin takut penangan mulut Sarah yang bagi aku cukup laser atau bahasa si Ipin yang selalu guna - lahar. Si Ipin ni pun pagi-pagi agaknya ingin membalas dendam agaknya pada aku.

Sarah menepuk bahu aku, "Hai, kot ye pun jangan le gelabah sampai baju terbalik bang oiii. Jom aku teman kau terbalikkan baju ni kat toilet".

Aku mengangguk setuju dan mengekori Sarah dari belakang. Sergahan Sarah tadi sudah cukup membuatkan pelajar-pelajar junior yang sedang menunggu di dewan bersebelahan berpaling ke arah kami. Aku endahkan sahaja pandangan mereka dan terus bergegas ke tandas lelaki sambil ditemani Sarah yang kemudiannya mengekori aku dari belakang sambil berborak, kononnya seperti 'mencover' dari belakang.

"Terima kasih Sarah. Kau memang life saver aku. Muah muah" aku memuncungkan mulut aku.

"Ish gelilah. Dah lambat dah ni. Jom. Siap si Ipin tu aku kerjakan dalam kelas nanti," kata Sarah sambil menumbuk-numbuk tangannya. Pelik. Bukan dia yang Ipin kacau tadi. Aku. Hmm biarlah... seronok juga aku menjadi sebahagian daripada batu api....

No comments: