Sunday, October 19, 2008

Tiga...

Genap lagi dua hari akan tiba Program Setaut Kasih Aidilfitri yang bakal diraikan bersama dengan anak-anak yatim Rumah Barkat. Agaknya masing-masing tak sabar melihat riak wajah anak-anak muda itu yang sudah sekian lama mereka tidak jenguk semenjak cuti semester yang lepas kerana cuti Aidilfitri. Celoteh anak-anak muda itu sudah pasti menggamit perasaan mereka yang melihat. Apa yang mereka lakukan itu adalah sekadar membuat acara seperti rumah terbuka, seperti menjamu selera anak-anak yatim dan melayan karenah adik-adik yang mereka sayangi itu yang gersang akan kasih sayang sebuah keluarga. Adik-adik Rumah Barkat itu banyak terhutang budi pada abang-abang dan kakak-kakak Kelab Pengasih, tidak terbalas jasa-jasa itu. Tapi bagi abang-abang dan kakak-kakak ini tidaklah begitu kisah, cukuplah sekadar hanya ciuman di pipi sebagi tanda terima kasih dan sayang kembali kepada mereka. Itu sahaja yang mereka harapkan.

Bilik gerakan Kelab Pengasih nampaknya sibuk dengan agenda tersebut. Riuh-rendah, seperti persiapan untuk kenduri di kampung. Sarah ditugaskan untuk membuat hiasan sepanjang program tersebut. Kain rentang masih belum dicat. Sarah menggaru kepala, cuba mencetus idea apa yang patut dilukis dan ditulis. Sarah terpandang ke arah Kiki dan Jaja. Kembar berdua itu sibuk cuba untuk menyiapkan tugasan mereka iaitu menyiapkan 100 biji belon yang sudah beritup. Agaknya baru 25% tugasan mereka telah siap. Kadang kala terdengar dari jauh di sudut koridor itu hilaian gelak ketawa mereka. Apalah yang mereka sedang bualkan, fikir Sarah. Sarah mendekati mereka dengan tujuan supaya mereka dapat membantu Sarah menyiapkan kain rentang itu dahulu, supaya mereka dapat gantungkan segera pada malam itu juga di Arked Cengal.

"Penat je kita pakai lip gloss pink malam ni kan, dik?" Kiki cuba membuka topik baru apabila melihat Sarah menghampiri mereka, sambil mengelap bibirnya yang agaknya sudah sakit meniup belon-belon itu.

"Yalah, pakai pun, Abang Z tak perasan pun," Jaja membalas pertanyaan kakaknya itu. Sudah pasti jawapan itu masih tidak menukar topik perbualan mereka dan saat itu juga Kiki mencubit kaki adiknya.

"Abang Z? Kenapa dengan abang Z?" Sarah bertanya, ingin tahu lebih lanjut apa yang mereka bualkan sebelum ini.

"Kak Sarah tak pelik ke? Abang Z tu serba serbi elok orangnya. Tinggi lampai. Baik orangnya. Muka boleh tahan. Kumisnya, mak aih, tak tahan saya kak! Taste sangat-sangat. Badannya, wah kekar! Tapi kenapa takde sesiapa yang nak bercouple dengan dia? Jual mahal ke kak? Kak citer la sikit pasal dia, kak Sarah kan baik dengan dia" Jaja bertanya, dengan harapan segala persoalan mereka dapat dirungkaikan. Saat itu juga putaran cubitan Kiki lebih kuat dari sebelum ini.

"Aduh kak ni!" jerit Jaja. Serta merta seluruh warga Kelab Pengasih menjadi senyap dan memberi tumpuan pada sudut koridor yang dihuni oleh mereka bertiga. Senyap seketika untuk 5 saat bagaikan ada musibah yang bakal menimpa, dan akhirnya mereka semua terburai dengan hilaian ketawa.

"Abang Z tu lebih suka tumpuan perhatian kepada pelajaran dia. Dia tu kan pelajar terbaik fakulti kita. Setiap semester mesti saja dekan," balas Sarah.

"Akak tak minat dia ke?" Kiki cuba mengorek lagi.

Sarah senyap seribu bahasa. Tidak tahu ingin membalas apa-apa. Saat itu juga Sarah menoleh ke arah Zakri yang sedang tekun menulis kertas kerja untuk mendapatkan wang tambahan untuk program kali ini. Ketika itu dia sedang berbincang dengan Fakri selaku Tuan Pengarah program untuk kali ini. Apalah yang mereka sedang bincangkan itu sambil bergelak sakan. Sarah suka cara Zakri senyum. Cukup manis. Tiba-tiba Zakri menukar pandangan ke arah Sarah, menyebabkan Sarah tersipu-sipu memandang semula ke arah Kiki dan Jaja. Kembar itu hanya ketawa tersipu-sipu.

Sarah suka cara Zakri bekerja. Tegas dan rapi. Cukup berdiplomatik ketika memberikan arahan. Sarah lebih suka mengikut telunjuk Zakri selaku Presiden Kelab mereka. Kali ini, nampaknya di bawah pengawasan Zakri, Kelab Pengasih lebih tampak hebat berbanding dengan dulu yang agak pasif dibawah pimpinan Solehin.

"Abang Z tu akak anggap macam abang akak sendiri, tak lebih dari itu," balas Sarah. Dia bagaikan tidak percaya apa yang dia ucapkan itu. Cukup berlainan dengan apa yang dia rasa dalam hati. Bodoh, cukup bodoh kerana masih cuba untuk memendam rasa, fikir Sarah.

Si kembar berdua tiba-tiba tersenyum lebar. Masing-masing hanyut dalam khalayan sendiri. Zakri tiba-tiba bangun dan menghampiri mereka bertiga.

"Apa yang kecoh sangat tadi?" Zakri mengajukan soalan.

"Bibir saya ni dah bengkak dah bang," jawab Kiki sambil menjuih-juihkan mulutnya yang agak gebu itu.

"Kalau macam tu tolong akak wat banner tu boleh?" terus Sarah memotong pertanyaan Zakri yang selanjutnya.

"Aku nak gunakan tenaga tulang empat kerat depa ni untuk aku siapkan banner tu malam ni gak. Boleh kan Z?"

"Sure. Please proceed.. Sarah, nanti..." Zakri terpaksa memberhentikan persoalan itu apabila Fakri mencuit bahu si Zakri sambil memberikan soalan-soalan yang agak rumit bertubi-tubi untuk Zakri terangkan waktu itu juga. Percakapannya macam sebuah robot. Fakri agaknya gelisah kerana program sudah hampir akan berlangsung. Tingkah lakunya cukup terserlah gelisah dan resah.

Sarah cepat-cepat menarik si kembar berdua itu ke arah meja tulis. Zakri sempat menoleh, jelas di raut wajahnya kesal kerana tidak sempat untuk mengajukan soalan itu tadi. Nampaknya waktu yang agak singkat sebelum tibanya tengah malam terpaksa Zakri gunakan sepenuhnya untuk Fakri.

-------------------

Jam tepat menunjukkan tiga pagi. Hanya Zakri yang masih ada di bilik gerakan. Di bawah samar-samar lampu itu dapat dilihat Zakri sedang mengangkat takbir mengerjakan solat sunat tahajud. Arwah ayah Zakri selalu berpesan, gunakan sedikit masa yang terluang untuk mengingati Allah s.w.t kerana Dia yang Maha Mengetahui tidak sedikit pun lupa terhadap kita insan yang cukup kerdil ini.

Sebelum Zakri melangkah keluar dari bilik gerakan, Zakri menampal sebuah nota di papan utama yang mungkin boleh digunakan untuk renungan dan motivasi rakan-rakan yang lain untuk menjayakan program mereka kali ini.


Kepada sahabat2ku Pengasih...
Surah Al Baqarah Ayat 177 : “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan , akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa”.

Thank you for all of your efforts. May Allah bless all of you.

Sebagai renungan... Sekiranya kita menyapu / mengusap kepala anak yatim, fadhilat Allah akan mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di sapunya.

Z

1 comment:

saracocohoney said...

wah! zakri...mas ganteng!